Penyelesaian menang-menang syarikat telco, pelanggan

Kementerian Komunikasi dan Multimedia komited memberi penyelesaian ‘menang-menang’ kepada syarikat telekomunikasi dalam pasaran dan pengguna susulan perancangan kerajaan menurunkan harga perkhidmatan jalur lebar di Malaysia.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata, kementerian yakin syarikat telekomunikasi yang memberi perkhidmatan berkualiti dengan harga yang lebih murah akan dapat menarik lebih ramai pelanggan, seterusnya memberi keuntungan kepada syarikat.

“Ada yang kata kalau harga (perkhidmatan jalur lebar) turun maka keuntungan sesebuah syarikat telekomunikasi itu akan turun, itu tidak benar.

“Sebaliknya, kalau kita lebih kompetitif dan menawarkan pakej perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, pelanggan akan datang dan ini akan memperluaskan customer base (pangkalan pelanggan) kita, jadi keuntungan akan meningkat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta kementerian menyatakan rasional tindakan pengumuman potongan harga jalur lebar.

Ismail juga ingin tahu langkah kerajaan dalam memastikan keuntungan syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia bagi mengimbangi langkah merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.

Mengulas lanjut, Gobind berkata kerajaan mahu semua rakyat mempunyai akses kepada internet yang bertepatan dari segi harga, kualiti yang baik dan kelajuan setaraf standard dunia.

Beliau berkata sehubungan itu, kementerian telah mengumumkan inisiatif ‘double the speed, half the price’ dan seiring dengan itu kementerian melaksanakan sepenuhnya standard mandatori harga capaian (MSAP) sejak 8 Jun lepas.

Polisi MSAP mengenakan harga siling borong bagi pihak pembekal kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan syarikat telekomunikasi dalam pasaran.

Setakat ini, katanya perbincangan penetapan harga borong melibatkan pihak berkaitan termasuk syarikat telekomunikasi masih berlangsung dan dijangka selesai dalam masa terdekat

“Kementerian menjangkakan harga perkhidmatan jalur lebar akan turun hingga 25 peratus menjelang hujung tahun ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/penyelesaian-menang-menang-syarikat-telco-pelanggan-1.865938