Kegiatan pajak MyKad dikesan di Kelantan

Sebuah kedai perkakasan telekomunikasi di Kelantan dikesan menawarkan khidmat pajak MyKad kepada golongan kesempitan wang.

MyKad tersebut seterusnya dikatakan diguna untuk mendaftar kad sim kepada pelanggan lain termasuk pendatang asing yang enggan menggunakan dokumen pengenalan sendiri yang merupakan syarat wajib kerajaan.

Seorang penduduk tempatan mendakwa, beliau pernah menyaksikan urusan pajak MyKad itu dilakukan dengan bayaran kira-kira RM100.

“Sejurus menerima wang, lelaki itu terus beredar dan pengusaha terbabit membawa masuk kad pengenalan tersebut, mungkin untuk disimpan di suatu tempat yang lebih selamat atau di luar pengetahuan orang lain,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Pengusaha tersebut turut menggunakan taktik licik untuk mengaut keuntungan dengan menetapkan tempoh penebusan yang singkat terhadap pemajak sebelum mengenakan kadar faedah yang tinggi.

“Mereka (pemajak) terpaksa membayar kadar faedah tertentu sekiranya penebusan kad pengenalan tersebut dibuat selepas tempoh yang ditetapkan,” katanya lagi.

Seorang lagi sumber memaklumkan kedai terbabit beroperasi sehingga 15 jam sehari dan akan tutup kira-kira jam 3 pagi, memandangkan pemajak kebanyakannya mengunjungi premis berkenaan pada lewat malam hingga awal pagi.

https://www.malaysiakini.com/news/457860

Have a comment? Type it below!