[Video] Salleh, Pandikar antara pemimpin tinggalkan Umno

Bekas menteri komunikasi dan multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak adalah antara ahli Umno Sabah yang meletak jawatan pada petang ini.

Salleh merupakan tokoh yang lantang membela bekas perdana menteri Najib Razak sebelum BN dan Umno tewas pada pilihan raya umum lepas.

Pada 2015, Najib melantik Salleh, yang merupakan bekas ketua menteri Sabah, sebagai anggota kabinetnya.

Salleh hadir pada sidang akhbar di Kota Kinabalu petang ini di mana lebih separuh Ahli Parlimen Umno Sabah dan anggota dewan undangan negeri mengumumkan keputusan mereka untuk keluar parti dan menjadi calon bebas.

Bagaimanapun, mereka mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Salleh pernah menjadi pengkritik tegar terhadap Mahathir ketika menyerang Najib terhadap skandal 1MDB.

Dalam pilihan raya 9 Mei lalu, bekas menteri itu kalah dalam kerusi Parlimen Kota Belud dalam pertandingan empat penjuru.

Kerusi itu dimenangi oleh Isnaraissah Munirah Majilis Fakharudy dari Parti Warisan Sabah.

Sementara itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Rakyat selama dua penggal, juga keluar dari Umno Sabah.

Have a comment? Type it below!