NFCP sasar 98 peratus liputan jalur lebar pada 2023

Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) menyasar untuk meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk sekurang-kurangnya lima kali ganda kepada 98 peratus menjelang 2023 dengan kelajuan minimum 30 megabait sesaat (Mbps).

Ia bakal direalisasikan dengan penggunaan spektrum 700MHz selain secara berperingkat mengeluarkan rangkaian kuprum.

Penganalisis Kenanga Research, Cheow Ming Liang, berkata sasaran itu dikemukakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah satu daripada empat inisiatif utama projek perintis NFCP iaitu memastikan penggunaan infrastruktur digital yang maksimum.

SKMM juga, katanya menyasarkan 100 peratus premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpilih mempunyai capaian jalur lebar, manakala 20 peratus kawasan pinggir bandar dan pedalaman mempunyai kepantasan sehingga 500Mbps menjelang 2022.

“Pihak berkuasa juga meletakkan sasaran kepantasan perkhidmatan internet gigabit untuk kawasan perindustrian strategik dan berimpak tinggi menjelang 2020, serta semua ibu negeri menjelang 2020.

“Kerajaan juga menyasar untuk mengeluarkan dasar berkaitan isu 5G menjelang 2019 selepas kajian SKMM berkenaan pengoptimuman spektrum disiapkan,” katanya.

Di bawah pelan NFCP, Ming Liang berkata, SKMM merancang melaksanakan empat inisiatif utama yang mana selain penggunaan infrastruktur digital maksimum, ia mahu menyediakan perkhidmatan mampu milik dan meningkatkan kualiti untuk memacu ekonomi digital, menggalakkan persaingan serta meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital.

Dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk mempromosikan ekonomi digital di bawah pelaksanaan NFCP.

Pelan itu bertujuan menjelaskan hala tuju strategik bagi pelaksanaan dasar atau inisiatif yang menyokong ekonomi digital dan pada masa sama, mencipta persekitaran kondusif untuk membantu penggunaan teknologi pada masa depan.

Pelaksanaan keseluruhan pelan itu dijangka berlangsung lima tahun sehingga 2023.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/01/516961/nfcp-sasar-98-peratus-liputan-jalur-lebar-pada-2023

Have a comment? Type it below!