SKMM: 4 Individu didakwa kerana Peralatan Komunikasi Tidak DiPerakui

Ketegasan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memerangi penggunaan peralatan komunikasi tidak diperakui diteruskan apabila empat individu masing-masing telah didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan MCMC, Dato’ Mohd Shafie Harun memaklumkan, kesemua kesalahan yang dilakukan oleh keempat-empat Orang Kena Saman (OKS) berkenaan berserta syarikat mereka menjurus kepada tindakan memiliki dan menjual kotak TV Android dan AV Sender yang tidak diperakui.

Menurut beliau, dalam kes pertama, OKS yang dikenali sebagai Chen Kar Seng yang merupakan pemilik perniagaan Media Home Enterprise telah didakwa memiliki sebanyak 146 kotak TV Android yang tidak diperakui dengan niat untuk menjual.

Kes tersebut disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan OKS telah mengaku bersalah dan didenda oleh Mahkamah sebanyak RM40,000.

“Dalam kes kedua pula, tiga individu iaitu Hing Fook Young, Tan Kim Sia dan Ow Kee Foo yang merupakan pengarah syarikat MSB Technology (Malaysia) Sdn Bhd didakwa menjual 7 unit AV Sender yang bertentangan dengan standard, tidak diperakui dan dilekatkan dengan tanda label pemerakuan yang salah.

Kes berkenaan juga disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000. Syarikat dan ketiga-tiga OKS itu mengaku bersalah dan didenda oleh Mahkamah sebanyak RM30,000. Kesemua barang-barang kes tersebut diserahkan kepada pihak MCMC untuk dilupuskan.

Dalam pada itu, Dato’ Mohd Shafie turut menegaskan, pihak MCMC akan terus menjalankan operasi membanteras penggunaan peralatan komunikasi yang tidak diperakui di negara ini.

Orang awam juga adalah diingatkan supaya membeli dan menggunakan peralatan komunikasi yang memaparkan label MCMC sahaja. Peringatan ini, ujarnya, bertujuan untuk melindungi keselamatan pengguna selain mengelakkan gangguan kepada perkhidmatan komunikasi yang lain.

Bagi memastikan peralatan komunikasi yang digunakan adalah sah dan diperakui, para pengguna adalah disyorkan untuk menyemak status peralatan tersebut menggunakan aplikasi mudah alih Check Your Label ataupun melalui secara dalam talian di laman sesawang https://ecomm.sirim.my.

Have a comment? Type it below!