Sabah & Sarawak akan beralih kepada Siaran TV Digital mulai 31st Oktober

Sabah dan Sarawak akan beralih sepenuhnya kepada siaran TV Digital myFreeview daripada siaran TV terestrial analog mulai 31 Oktober 2019, menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog di seluruh Malaysia yang ditawarkan secara percuma sejak 1963.

Dengan fasa terakhir penutupan ini, seluruh Malaysia akan beralih sepenuhnya kepada siaran TV digital myFreeview susulan daripada proses peralihan di kawasan-kawasan wilayah Tengah, Selatan, Utara dan Timur secara berperingkat bermula 30 September 2019 yang lalu.

Pelbagai usaha seperti menguar-uarkan peralihan berkenaan kepada orang ramai menerusi Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA), program bualbicara di stesen-stesen TV dan radio, pengedaran risalah-risalah di tempat-tempat dan perumahan awam, pusat-pusat internet, surat khabar tempatan, platform media sosial serta sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri serta paparan maklumat peralihan di skrin TV giat dijalankan oleh MCMC dan MYTV untuk memastikan warga Sabah dan Sarawak bersedia menghadapi peralihan tersebut. Dalam hal ini juga, MCMC dengan kerjasama MYTV akan terus memantau perkembangan semasa dan berada di lokasi bagi memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar.

Siaran TV digital myFreeview menjanjikan imej gambar yang lebih tajam, bunyi yang berkualiti tinggi dan perkhidmatan TV interaktif yang akan memacu keperluan ekonomi, sosial dan pendidikan negara serta rakyatnya. Selain itu, para penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio, dan aplikasi-aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif dan banyak lagi melalui 15 saluran TV dan enam (6) saluran radio termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV Al Hijrah, dan Bernama News Channel (BNC), semuanya secara percuma tanpa sebarang yuran bulanan.

Justeru, bagi mereka yang masih belum beralih kepada siaran TV Digital myFreeview, anda adalah digalakkan untuk berbuat demikian dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Pasangkan dekoder Digital Terrestrial Television (DTT)) atau Direct to Home (DTH) ke set TV sedia ada berserta antena UHF (Ultra High Frequency) luaran (digalakkan) atau dalaman.
  2. Sebagai pilihan, sambungkan antena UHF ke Integrated Digital TV (IDTV) dengan label DTTV yang telah dilengkapi dengan dekoder, atau
  3. Pasangkan dekoder DTH berserta aksesori ke set TV sedia ada sekiranya berada di kawasan liputan DTH atau
  4. Pasangkan dekoder DTH berserta aksesori ke set IDTV sekiranya berada di kawasan liputan DTH. Terdapat pelbagai pilihan yang boleh dibeli dari laman sesawang myfreeview.tv, atau
  5. Panduan video tutorial cara pemasangan, http://www.mytvbroadcasting.my/pemasangan_video/

Dekoder percuma turut diedarkan kepada 2 juta isi rumah B40 yang telah berdaftar dan berpendapatan terendah di seluruh negara. Mereka boleh memeriksa kelayakan untuk mendapatkan dekoder percuma menerusi langkah-langkah berikut:

  1. Taip MYTV (jarak) DEKODER (jarak) (nombor kad pengenalan anda) dan hantar ke 15888
  2. Layari laman www.mytvbroadcasting.my/B40
  3. Hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan myFreeview di talian 1-300-80-6988 atau 1800-18-1088Sebarang pertanyaan boleh melayari laman sesawang www.myFreeview.tv atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan MYTV di talian 1800-18-1088 daripada pukul 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari, termasuk cuti umum.

Have a comment? Type it below!