MCMC Tegas Tangani Isu Penyalahgunaan Label MCMC pada Kotak TV Android

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa pemerakuan kotak TV Android oleh SIRIM dan label MCMC tidak melibatkan kelulusan terhadap sebarang aplikasi untuk penstriman dan memuat turun sebarang filem, drama atau apa jua kandungan yang dilindungi hakciptanya secara haram.

Ini kerana, pemerakuan yang dikeluarkan oleh SIRIM untuk kotak TV Android dan label MCMC pada peralatan tersebut hanya membabitkan pematuhan modul WiFi dan Bluetooth terhadap standard-standard teknikal yang dikuatkuasakan oleh MCMC.

Oleh itu, MCMC memberi amaran tegas kepada pembekal dan penjual supaya tidak menyalahgunakan label MCMC untuk menggambarkan pihak MCMC membenarkan penjualan kotak TV Android yang diperakui oleh SIRIM untuk kegunaan penstriman dan memuat turun kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram.

MCMC tidak akan berkompromi sekiranya ia mendapati berlakunya penyalahgunaan label MCMC oleh pihak penjual. Tindakan seperti pembatalan sijil pemerakuan kotak TV Android serta arahan untuk menarik semula semua kotak TV Android yang telah dijual dan berada dalam pasaran akan dibuat tanpa prejudis jika didapati melanggar peruntukan undang-undang dan syarat-syarat pemerakuan yang telah dikeluarkan.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penjualan kotak TV Android yang mengandungi aplikasi atau disertakan dengan pakej perkhidmatan penstriman kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram kerana ianya adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, di antara Oktober 2018 dan Januari 2020, MCMC telah mengeluarkan kompaun sejumlah RM67,000 terhadap empat (4) kesalahan membeli dan menjual kotak TV Android yang tidak diperakui. Manakala, tujuh (7) lagi kes pula telah didakwa di mahkamah dan didenda sejumlah RM194,500 bagi tempoh yang sama.

Orang ramai disyorkan untuk memanfaatkan aplikasi mudah alih Check Your Label ataupun laman sesawang https://ecomm.sirim.my bagi memastikan sebarang kelengkapan komunikasi yang hendak dibeli adalah sah dan diperakui.

Have a comment? Type it below!