TM: 'Kami tak larang kakitangan sertai aktiviti pilihan raya'

Telekom Malaysia Berhad (TM) menafikan laporan bahawa ia melarang kakitangannya menunaikan hak demokrasi atau melibatkan diri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam satu kenyataan hari ini, TM berkata ia selaku entiti korporat sentiasa mengambil posisi berkecuali berkenaan hal ehwal politik.

“Kami tidak pernah menyekat sebarang aktiviti peribadi kakitangan kami termasuklah penglibatan mereka di dalam aktiviti-aktiviti politik di luar waktu pejabat atas kapasiti peribadi selagi ianya tidak melanggar Nilai-nilai Teras dan dasar Kod Etika Tatakelakuan dan Tatacara Syarikat,” kata kumpulan itu.

TM bagaimanapun berkata, kakitangannya tidak dibenarkan membabitkan nama atau jenama syarikat sewaktu mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti politik sepanjang PRU14.

“Sebagai contohnya, kakitangan TM tidak dibenarkan memakai pakaian yang memaparkan sebarang logo jenama Kumpulan TM yang boleh mengaitkan mereka sebagai anggota Kumpulan TM semasa menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut,” tambah TM.

Kumpulan itu menambah, kakitangan yang berhasrat untuk menglibatkan diri dalam sebarang aktiviti politik perlu merujuk kepada Bahagian Modal Insan Kumpulan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya dengan undang-undang sedia ada.

http://www.astroawani.com/berita-politik/tm-kami-tak-larang-kakitangan-sertai-aktiviti-pilihan-raya-173249